KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh usaha menstabilkan harga barangan keperluan bagi menangani kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata usaha itu termasuk memperketat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta melaksanakan program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.

"Kadar inflasi negara masih terkawal pada 1.7 peratus bagi suku pertama 2026 dan kira-kira 1.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

"Kita lihat juga inflasi makanan sekitar 1.4 peratus bagi Mei dan Jun serta 1.8 hingga 1.9 peratus bagi Julai dan Ogos," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.