IPOH – Perjalanan seorang murid tahun empat ke sekolah bertukar tragedi apabila dia maut bersama kakaknya selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Perpaduan, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Suhaila Ibrahim, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan dan kakaknya, Elyana Nasuha, 19, maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi kakak Suhaila, Norhayati Qaliesha, 12, yang turut membonceng motosikal sama, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada pukul 7.40 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika penunggang motosikal jenis Yamaha EZ115 itu dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke sekolah.