am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai di sekitar Kem Terendak, Melaka dan Yan, Kedah dinasihatkan tidak cemas jika melihat peningkatan pergerakan anggota tentera bersenjata, konvoi taktikal kenderaan berat atau mendengar bunyi letupan terkawal sehingga Isnin ini.

Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan situasi itu adalah sebahagian Eksesais LINUD MALINDO Tahun 2026 yang dilaksanakan bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) sejak 26 September lalu hingga 5 Oktober ini.

"Segala aktiviti ini adalah sebahagian daripada senario latihan ketenteraan yang dirancang rapi dengan pematuhan mutlak terhadap parameter keselamatan awam.

"Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar kekal tenang dan tidak cemas dengan peningkatan pergerakan anggota tentera bersenjata, konvoi taktikal kenderaan berat serta bunyi letupan terkawal di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.