KUALA LUMPUR: Malaysia akan memantau pelaksanaan pembangunan semula Gaza meskipun tidak menyertai Lembaga Keamanan yang diterajui Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata dalam masa yang sama Malaysia juga akan terus mengkritik sebarang tindakan Lembaga Keamanan yang didapati tidak memihak kepada rakyat Palestin.
"Walaupun kita sudah menyatakan tidak akan terbabit dalam Lembaga Keamanan ini, kita akan meneliti dan memerhatikan perkembangan serta langkah yang sedang dijalankan.
"Sekiranya terdapat tindakan yang tidak memihak kepada rakyat Palestin, kita akan terus konsisten mengkritiknya," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.








