Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah berkata melantik ulama itu akan menghantar mesej yang tidak baik dalam usaha meningkatkan pendidikan Islam dalam kalangan kanak-kanak.KUALA LUMPUR: Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik seorang ulama Mesir ke dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath yang dicadangkan kerajaan.

Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ulama itu pernah menyokong jeneral tentera yang menggulingkan seorang presiden yang dipilih secara demokratik di negara Timur Tengah, serta menghalalkan pembunuhan ribuan penyokong pemimpin yang digulingkan itu.

Walaupun tidak menamakan ulama berkenaan, beliau dipercayai merujuk kepada bekas mufti besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, yang menurut Anwar akan terlibat dalam majlis penasihat berkenaan.