KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung sudah lama tidak aktif dalam parti itu.
Katanya, Chean Chung tidak hadir dalam mesyuarat parti berkenaan dan juga tidak menghadiri Kongres Nasional PKR bagi tempoh lebih setahun, sekali gus menunjukkan beliau sudah tidak lagi berminat dengan PKR.
"Dia dah berhenti lama ... dah setahun. Dia tidak pernah hadir menyuarat. Kongres parti pun tak hadir dan tak pernah campur soal urusan parti. Jadi, sesuailah.
"Kalau dah tak minat, tak ada masalah, pergi dengan baik dan terima kasih atas sumbangan selama ini.
"Bagaimanapun, sumbangan Chean Chung sepanjang berada dalam parti tetap dihargai dan perkembangan berhubung kedudukannya itu tidak menjejaskan kepentingan penduduk di kawasan Parlimen Petaling Jaya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, di sini, hari ini.






