PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 8,054 slot penajaan menerusi Program Dermasiswa B40 tahun ini bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
Keputusan penajaan bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 boleh disemak menerusi Portal Penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my sehingga pukul 5 petang, 22 Oktober ini.
JPA berkata, penajaan itu melibatkan pengajian di universiti awam (UA), politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
Menurut jabatan itu, bidang pengajian yang ditaja di UA dan politeknik merangkumi kejuruteraan dan teknikal/teknologi, sains, sains sosial/sastera serta seni bina, manakala penajaan di institusi TVET MARA dan ILKA melibatkan program diploma dalam bidang TVET.









