KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Ariffin tidak kecewa apabila namanya tidak tercalon dalam mana-mana kategori Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), sebaliknya menganggap anugerah sekadar bonus dalam kerjaya seni, dengan mutu lakonan menjadi keutamaan.

Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin, 40, berkata, selagi masih diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk menjayakan sesebuah karya dan hasil kerjanya diterima penonton, perkara itu sudah cukup untuk membuatkannya bersyukur.

"Bagi saya, anugerah hanyalah bonus dalam kerjaya sebagai pelakon. Ia bukan perkara utama kerana yang lebih penting ialah mutu lakonan yang kita persembahkan kepada masyarakat.

"Kita mahu menghasilkan yang terbaik. Kita buat filem untuk tontonan masyarakat dan menjadi hiburan buat mereka.