Kuala Lumpur: Tealive menyasarkan pertumbuhan kukuh dalam pasaran kopi tempatan menerusi pengenalan siri tawaran masa terhad (LTO) Orange Coffee bersempena kejohanan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Langkah strategik syarikat itu menyaksikan penambahan sentuhan keasidan sitrus yang menyegarkan pada barisan kopi high-octane keluaran mereka menerusi dua varian baharu iaitu Orange Americano dan Orange Latte.

Kedua-dua minuman berkenaan diproses khas menggunakan gabungan biji kopi import berkualiti tinggi dari Ethiopia, Indonesia dan China yang kini boleh didapati di cawangan Tealive di seluruh negara.

Formulasi campuran unik itu menggabungkan 60 peratus biji kopi Yunnan yang memberikan profil rasa coklat, 20 peratus arabica tanah tinggi Ethiopia berserta nota buah-buahan, dan 20 peratus Mandheling dari Sumatera bagi mengimbangi rasa yang lebih lembut.