ADEN: Lima orang terbunuh manakala 16 lagi cedera apabila kumpulan Houthi menyerang Istana Presiden Al-Maashiq di Aden menggunakan peluru berpandu balistik, menurut Menteri Kesihatan Yemen.
Sumber kerajaan memberitahu Anadolu serangan itu melibatkan lima peluru berpandu balistik dan beberapa anggota kerajaan berada di dalam istana ketika kejadian.
Menteri Kesihatan Yemen, Qassem Buhaibeh menerusi Facebook berkata, mangsa yang terkorban dan cedera terdiri daripada anggota pengawal serta kakitangan awam yang bekerja di kompleks istana berkenaan.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai pengulangan serangan terhadap kerajaan Yemen di Lapangan Terbang Aden pada Disember 2020.






