austin@nst.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan 46 warga asing dalam serbuan Op Dadu Khas ke atas sembilan premis yang dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian di sekitar ibu negara, sejak semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semua warga asing berkenaan disyaki terbabit dengan operasi pusat panggilan perjudian dalam talian dan turut disiasat atas kesalahan imigresen.

"Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan mengaku membabitkan diri dalam penganjuran aktiviti perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan dari China, Korea dan Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai mula aktif antara satu hingga tiga bulan lalu dengan setiap individu terbabit menerima gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM3,500.