KANGAR: Polis meminta penceramah motivasi tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim, berkata pihaknya mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian yang mengaitkan penceramah itu jam 2.09 pagi, pada 26 September lalu.

Beliau berkata, individu berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi kerjasama dan keterangan berhubung kejadian terbabit.

"Polis menggesa sekiranya terdapat mangsa lain yang terbabit dengan penceramah motivasi berkenaan supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam kenyataan hari ini.