Kuala Lumpur: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di STOLport Long Lellang segera bertindak memadamkan kebakaran selepas helikopter Bo-105 terhempas di lokasi itu pada 8 September lalu.

Mereka turut dibantu penduduk kampung berhampiran, namun kebakaran terus marak selama beberapa jam walaupun kesemua alat pemadam api yang tersedia sudah digunakan.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) mendapati anggota RELA terbabit tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) khusus untuk memadam kebakaran.

Menerusi laporan awalnya, biro itu memaklumkan anggota RELA yang bertugas di STOLport berkenaan bergegas ke lokasi nahas dengan membawa alat pemadam api mudah alih.