KUALA LUMPUR: PETRONAS dan Vietnam National Industry – Energy Group (Petrovietnam) memperkukuh lagi kerjasama menerusi pemeteraian Perjanjian Pakatan Strategik (SAA), sekali gus menandakan pencapaian baharu dalam hubungan kerjasama selama 35 tahun serta mengesahkan komitmen bersama untuk memajukan keterjaminan tenaga, kemampanan dan penciptaan nilai jangka panjang.

Perjanjian itu mewujudkan kerangka berorientasikan masa depan bagi kedua-dua organisasi memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meneroka peluang merentasi rantaian nilai tenaga, meliputi pembangunan huluan, gas dan gas asli cecair (LNG), peluang sektor hiliran serta penyelesaian rendah karbon.

SAA itu ditandatangani di ibu pejabat Petrovietnam oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petrovietnam, Le Manh Cuong.