KAHERAH: Parlimen Mesir akan mengadakan sidang tergempar pada Ahad selepas Presiden, Abdel Fattah al-Sisi meminta anggota Parlimen memberi kuasa kepada kerajaan untuk membantu pertahanan Arab Saudi daripada serangan Houthi sekiranya diminta oleh negara itu.
Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam perang saudara negara itu menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Mesir menyertai campur tangan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi pada 2015, namun peranannya lebih tertumpu kepada usaha menjamin keselamatan laluan perkapalan di Laut Merah berbanding operasi tempur di barisan hadapan.
Sejak perang di Yemen kembali memuncak pada Julai lalu, Houthi meningkatkan serangan terhadap sasaran di Arab Saudi, termasuk kemudahan tenaga dan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, yang menyaksikan 19 orang terbunuh dalam beberapa serangan sejak minggu lalu.






