Istanbul: Dua orang termasuk seorang kanak-kanak maut manakala beberapa yang lain cedera selepas sebuah kenderaan merempuh satu perlawanan bola sepak belia di Wichita, Kansas, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan polis.

Polis Wichita memaklumkan bahawa pemandu sebuah kenderaan Chevrolet Silverado berwarna hitam ditahan susulan insiden di Kompleks Sukan Stryker.

"Kami mengesahkan dua orang maut di lokasi kejadian, manakala beberapa yang lain cedera dengan sebahagiannya dibawa ke hospital di sekitar kawasan berkenaan," kata Kapten Polis Wichita Aaron Moses.

"Kenderaan yang membabitkan dalam kejadian ini masih berada di lokasi. Pemandunya kini dalam tahanan kami. Pemandu berkenaan tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang awam," tambahnya.