Kuala Lumpur: Buah yuzu dari Jepun, dikenali kerana aroma unik dan rasa sitrusnya yang tersendiri, kini berpotensi untuk menembusi pasaran halal Malaysia dengan pengeluar dari Wilayah Kochi menyasarkan peluang eksport baharu.

Pengarah Pejabat Perwakilan Kochi di Singapura, Akihisa Ikeda berkata, Wilayah Kochi sudah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2026) di bawah Pavilion Jepun, dengan mempamerkan produk-produk yang sudah mendapat pensijilan halal.

"Walaupun sesetengah produk yuzu dari Wilayah Kochi sudah dieksport ke Malaysia, masih terdapat banyak peluang belum diteroka dalam sektor lain.

"Ini adalah penyertaan pertama kami dalam MIHAS, memandangkan kami mahu memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan halal," katanya ketika ditemui Bernama di luar acara MIHAS 2026 baru-baru ini.