Hulu Terengganu: Seorang wanita direman empat hari bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna di sebuah taman perumahan di Kuala Berang, di sini, Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap wanita berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Athirah Hashim di Mahkamah Majistret Kuala Berang bermula hari ini hingga 21 Oktober bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, wanita itu ditahan jam 3.30 petang, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang atau menyembunyikan mayat secara sulit sama ada bayi berkenaan meninggal dunia sebelum, semasa atau selepas dilahirkan," katanya.