PERJALANAN menawan puncak gunung bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental, sebaliknya turut membuka ruang mengenali kehidupan masyarakat sekitarnya.

Di sebalik laluan mencabar dan panorama memukau, terselit kisah penduduk yang menjadikan kehadiran pendaki antara sumber rezeki.

Gambaran itu dapat dilihat ketika menjejaki Gunung Merbabu dan Gunung Prau di Jawa Tengah, Indonesia. Dua destinasi yang bukan sahaja memikat pendaki dengan keindahan alamnya, tetapi turut memperlihatkan sisi kehidupan masyarakat di kaki gunung.

Hermawan antara sosok yang menjadikan kesibukan pendaki mengejar puncak sebagai sebahagian mata pencarian. Berpengalaman sebagai penunjuk arah sejak 2018, rutin bapa kepada seorang anak berusia lapan tahun itu bergerak mengikut rentak pelancongan.