PAC berkata projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 sepatutnya siap sepenuhnya pada hujung 2021, namun sebahagian besar pakej masih dalam pelaksanaan. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan terhadap pengurusan, tadbir urus kewangan dan pelaksanaan fizikal projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 susulan beberapa kelemahan dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC akan meneliti secara mendalam bagaimana masalah itu boleh berlaku walaupun pelbagai jawatankuasa pemantauan telah diwujudkan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah, serta agensi dan pihak berkaitan untuk memberi keterangan dalam prosiding itu.