SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas kereta Proton Wira dipandunya terbabas ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah–Lubuk Kawah, di sini, awal pagi tadi.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mat Yusof Hashim, 77, dari Jalan Masjid FELDA Teloi Timur, giat dijalankan pasukan bomba di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata terdahulu Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan telefon kira-kira jam 1 pagi tadi daripada orang awam memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta terbabas ke dalam sungai.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kereta dipandu warga emas itu datang dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke FELDA Teloi Timur.