PONTIAN – Dua terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di KM3.8 Jalan Parit Semerah-Parit Kudus, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, mangsa yang terbunuh adalah penunggang motosikal Nor Roslinda Rosli, 37 dan pembonceng, Muhammad Qusyairi Mohd Razali berusia 15 tahun.
Menurut beliau, penunggang motosikal parah pula adalah Mohd Danish Senam, 16, dan Mohamad Miszuan Hafiz Miswadi, 14.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam tadi berhampiran Taman Warisan yang mana kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus.
“Motosikal ditunggang Mohd Danish dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan tetapi tidak berjaya dan bertembung dengan motosikal kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.









