TANJONG MALIM: Kira-kira 10,000 penutup botol terpakai berjaya dikumpulkan dan diubah menjadi sebuah mural kelestarian menerusi Projek Bottle Cap Mural yang diluncurkan sempena Karnival Alam Sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata projek berkenaan membuktikan bahan terpakai boleh dimanfaatkan secara kreatif untuk menyampaikan mesej berkaitan pemeliharaan alam sekitar kepada warga universiti dan komuniti.
Beliau berkata projek tajaan SWCorp itu merupakan hasil kolaborasi Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), ECOLEAD FSK serta program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), dengan penutup botol diperoleh hasil sumbangan warga UPSI dan komuniti Muallim menerusi Bottle Cap Challenge.










