KUALA LUMPUR: Pelakon Fadlan Hazim menafikan spekulasi yang mendakwa hantaran di platform Threads mengenai hasratnya untuk 'menghilang' adalah petanda dia mahu berundur daripada industri seni tanah air.

Fadlan, 34, menjelaskan dia kini hanya memilih untuk lebih aktif di platform TikTok dan YouTube berbanding Instagram kerana merasakan suasana serta algoritma platform berkenaan kurang sesuai dengan jiwanya.

"Saya rasa vibe Instagram tidak kena dengan saya sebab saya kini lebih fokus kepada perniagaan, menjual barang, serta berkongsi hobi.

"Ini pendapat peribadi saya, tetapi Instagram lebih kepada tempat untuk menunjuk-nunjuk kehidupan gembira apabila orang ramai hanya menunjukkan satu sisi perspektif sahaja. Orang tidak mahu tunjuk benda yang raw dan real," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Filem Takluk 2 : OP Daulat di Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), hari ini.