NAMA kumpulan Hijjaz, Raihan dan Rabbani adalah 'tiga serangkai' yang pernah meledakkan lagu nasyid dan kerohanian dalam industri muzik tempatan pada 1990-an lalu dengan pelbagai karya penenang jiwa.

Seiring masa berlalu, pastinya dari baharu menjadi lama yang 'evergreen', mereka masih diminati hingga kini walaupun kemunculan bakat baharu semakin banyak mewarnai industri.

Terbaru, kumpulan Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim tampil menjayakan Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah.

Berlangsung dua malam berturut-turut di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), konsert berskala mega itu dianjurkan anak didik Hijjaz iaitu kumpulan Inteam melalui Inteam Records dan Inteam Events.