KUALA LUMPUR: Tiga dekad mengharungi perjalanan seni bukan sekadar meninggalkan himpunan karya malar segar buat Hijjaz, malah merakam kisah persahabatan, perjuangan dan kenangan yang terus mekar dalam hati peminat nasyid tanah air.
Menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya (IB), di sini, pada 16 dan 17 Oktober lalu, kumpulan legenda itu membuktikan karya mereka masih berupaya menyentuh emosi penonton, merentasi generasi dan peredaran zaman.
Konsert berkenaan bukan sekadar meraikan perjalanan seni Hijjaz sejak 1997, tetapi turut mengimbau detik penting yang membentuk identiti mereka dalam industri muzik tempatan, termasuk kenangan bersama sahabat seperjuangan yang sudah tiada.








