NAGOYA: Gandingan padel negara, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pilihan pertama dari Qatar, Mashari Naif-Rashed Naif pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Pada aksi final di Pusat Sukan Nagoya City Higashi itu, Christian-Aidan gagal menandingi kehebatan lawan apabila tewas 3-6, 1-6 dalam tempoh 55 minit.
Bagaimanapun, pencapaian itu tetap membanggakan selepas gandingan negara mempamerkan semangat juang tinggi untuk melangkah ke final menerusi kemenangan ke atas pilihan kedua dari Iran, Farsad Shahi-Amirmohammad Jamshidi pada aksi separuh akhir, semalam.
Christian-Aidan bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mencatat kemenangan 1-6, 6-4, 6-1 sekali gus menempah slot ke final.










