JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mewujudkan 477 tempat perlindungan oksigen kecemasan atau 'rumah oksigen' di semua pusat kesihatan masyarakat, hospital serta kemudahan awam di tujuh wilayah.

Menurut laporan agensi berita Antara, ia bagi merawat penduduk yang terjejas akibat jerebu toksik daripada kebakaran hutan dan tanah yang berterusan.

Ketua Biro Komunikasi dan Penerangan Kementerian Kesihatan, Aji Muhawarman, semalam memaklumkan bahawa Kalimantan Tengah mencatat jumlah tertinggi dengan 295 pusat perlindungan, diikuti Kalimantan Selatan (127) dan Kalimantan Barat (35).

Menurut data Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam kementerian, itu, kebakaran hutan yang merentasi 65 daerah serta bandar di tujuh wilayah berkenaan menyebabkan 314,124 kes jangkitan pernafasan akut (ARI).