Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan perjudian dengan gaji dianggarkan RM6,000 hingga RM10,000 sebulan. (Gambar Bernama)IPOH: Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat sindiket penipuan perjudian dalam talian menyasarkan mangsa warga Australia dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kamunting, Taiping, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek berusia 22 hingga 31 tahun ditahan pada 8.05 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping.

Beliau berkata, polis merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama yang menggunakan talian telco Australia, monitor komputer (10), cip pemprosesan komputer (6) dan satu router dianggarkan bernilai RM35,000.