PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) susulan rampasan 1.16 tan dadah jenis ketamin HCL bernilai hampir RM60 juta daripada sebuah kapal tangki di perairan negara itu, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah dimaklumkan penahanan kapal MT Global 168 itu oleh pihak berkuasa Indonesia.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan POLRI bagi mendapatkan butiran lanjut kes ini.
“Ia bagi mendapatkan maklumat risikan lain yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang penglibatan ahli sindiket yang beroperasi di Malaysia,” katanya kepada media di sini hari ini.









