Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin turut mempertahankan tindakan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berhubung aduan terhadap Bersatu.PETALING JAYA: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengadakan rundingan politik sendiri tanpa melalui kepimpinan gabungan itu sepatutnya keluar daripada PN, kata Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin.

Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata, parti yang memilih untuk kekal dalam PN perlu bertindak sebagai satu pasukan dan menyerahkan rundingan berkaitan kerusi pilihan raya kepada kepimpinan gabungan.

“Kalau kita dah jadi satu anggota kepada PN, biarlah kita tumpu, bincang dan tak payahlah nak bincang seorang.

“Ada anggota ini dia suka bincang seorang. Kita dah maklumkan pergi dan serahkan kepada setiausaha agung (Takiyuddin Hassan) dan juga pengerusi PN (Samsuri Mokhtar),” katanya dalam sidang media di Kelantan.