PUTRAJAYA: Drama Selampai Labung terbitan Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli kategori Drama TV1 Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, sekali gus melayakkan penerbitnya menerima ganjaran Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.

Kemenangan itu turut membolehkan penerbitnya membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi pada majlis yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.

Dalam kategori Dokumentari TV Terbaik, penerbit dokumentari Di Sebalik Bayangan Harimau terbitan TV1, Baharunnurdalila Baharuddin, menerima ganjaran DKD bernilai RM150,000.

Pengarah Bade Azmi pula dinobatkan sebagai Pengarah Drama TV Terbaik menerusi drama Dosa Tak Terampun yang disiarkan di TV1.