MADRID: Pelumba Sepanyol, Marc Marquez dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik Sepanyol bagi 2025 selepas merangkul gelaran dunia MotoGP buat kali ketujuh musim lalu.
Pelumba berusia 33 tahun itu mendominasi saingan bersama pasukan Ducati dengan memenangi 11 perlumbaan Grand Prix dan 14 perlumbaan pecut sebelum mengesahkan kejuaraan pada Grand Prix Jepun tahun lalu.
Bagaimanapun, kemalangan pada 2020 yang menyebabkan kecederaan serius pada lengan kanannya serta kemerosotan prestasi jentera Honda menyaksikan Marquez terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum meninggalkan HRC setahun lebih awal.
Marquez membuktikan kemampuannya apabila memenangi tiga perlumbaan bersama Gresini Ducati pada 2024, sekali gus membolehkannya menyertai pasukan Ducati pada 2025 sebelum merangkul gelaran dunia.









