Ayer Keroh: Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seminggu selepas hari penamaan calon iaitu pada 31 Oktober ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik.

Beliau berkata, rakyat perlu menunggu pengumuman rasmi manifesto bagi menilai segala perancangan serta tawaran BN untuk pilihan raya kali ini.

"Kita akan ada manifesto seminggu selepas penamaan calon. Kita akan beritahu nanti supaya sama ada ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik juga akan dimasukkan dalam manifesto kita," katanya kepada media selepas mengumumkan senarai calon BN bagi PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.