GEORGETOWN: Gelanggang Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) anjuran bersama Dewan Bahasa Pustaka (DBP) yang lazimnya mengambil tempat di ibu kota, terus membawa aura prestij tersendiri dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 di Padang Kota Lama di sini, malam tadi.
Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil, menyifatkan tradisi Malam Puisi Riong yang menemui khalayak selama lebih empat dekad sejak diperkenalkan pada tahun 1980-an itu begitu bermakna bagi merayakan estetika bahasa dan sastera tanah air.
Beliau menegaskan, perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu, sastera dan budaya bukanlah sesuatu yang asing buat BH dan telah menjadi benteng dan tonggak perjuangan akhbar itu sejak diterbitkan pada 1 Julai 1957.









