NEW YORK – Bekas ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mengakui dia tidak tergesa-gesa untuk kembali ke Formula Satu (F1), malah bersedia jika tidak lagi terlibat dalam sukan permotoran itu selepas meninggalkan pasukan berkenaan pada Julai 2025.

Horner yang mengemudi Red Bull selama 20 tahun berkata, sebarang tawaran untuk kembali perlu melibatkan projek yang benar-benar meyakinkannya, terutama dengan komitmen masa dan pengorbanan besar yang dituntut dalam F1.

“Sejujurnya, saya tidak tergesa-gesa. Buat masa ini, saya selesa berada di luar lingkungan F1, memerhati dari jauh selepas merasai kehidupan di luar sukan ini selama 15 bulan,” katanya.

Horner berkata, pengalaman memimpin Red Bull menyedarkannya tentang besarnya pengorbanan untuk mencapai kejayaan, justeru dia hanya akan kembali sekiranya dapat bekerjasama dengan individu yang berkongsi matlamat untuk menang.