Kuala Lumpur: Beberapa tarian dan amalan tradisional Melayu kini berada di persimpangan antara seni persembahan dan ritual pemulihan, bergantung kepada cara ia difahami serta dipersembahkan kepada khalayak.

Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Kamarulzaman Taib berkata, dalam konteks masyarakat tradisional, amalan seperti main puteri tidak pernah dilihat sebagai hiburan atau pementasan sebaliknya dianggap sebagai satu bentuk 'permainan' yang berfungsi untuk pengubatan dan pemulihan khususnya bagi individu yang dipercayai mengalami gangguan emosi atau spiritual.

"Namun, orang seni persembahan melihat ia sebagai teaterikal (sesuatu yang bersifat teater atau mempunyai ciri-ciri pementasan teater) kerana ada watak, ada yang dengar, ada muzik yang dianggap sebagai satu seni persembahan.