KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif, dengan majoriti kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik dan sederhana sehingga jam 7 pagi ini.

Berdasarkan laporan di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), sebanyak 29 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan bacaan IPU baik, manakala 32 kawasan mencatatkan IPU sederhana.

Sementara itu, terdapat tujuh kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, dengan stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 173.

Kawasan lain ialah Samarahan mencatatkan bacaan 160; Kuching (159); Sarikei (157); Sibu (154); Sri Aman (139) dan Mukah (109).