Kuala Lumpur: Di sebalik keindahan gerak tari dan alunan muzik tradisional, sebahagian tarian Melayu dipercayai mempunyai elemen spiritual yang bermula daripada kepercayaan dan adat masyarakat terdahulu.

Tarian ini bukan sekadar persembahan hiburan kerana pada asalnya ia berfungsi sebagai simbolik hubungan manusia dengan alam selain mencerminkan usaha masyarakat terdahulu mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian hidup.

Antara yang sering dikaitkan dengan unsur spiritual ialah ulek mayang yang terkenal di Terengganu, pada suatu ketika dahulu digunakan dalam upacara laut yang dipercayai menjadi medium simbolik bagi memohon keselamatan nelayan dan menenangkan unsur alam yang dianggap berbahaya.

Tidak ketinggalan, dua tarian tradisional Kelantan iaitu makyung dan main puteri yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam konteks kepercayaan tradisional.