Johor Bahru: Penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar bandar raya ini mendakwa berdepan gangguan puluhan monyet yang dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih serius pada masa depan.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan Gunung di Bandar Seri Alam, Taman Impian Emas dan Jalan Kolam Ayer di pusat bandar.
Kawasan lain berisiko termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di Tebrau, Taman Aman di Senai, Jalan Sakura di Kampung Maju Jaya, Senai serta Taman Pulai Perdana dan Taman Pulai Utama.
Penduduk Senai, Zainureeza Zainuddin, 43, berkata, kehadiran monyet menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk sejak setahun lalu, termasuk dari segi keselamatan, kebersihan dan kerugian harta benda.






