Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan ganti rugi yang perlu dibayar Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada pemaju hartanah, NBC Land Sdn Bhd daripada RM117 juta kepada RM3 juta, dalam pertikaian berkaitan pemulihan bekas tapak pelupusan sampah, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim, Datuk Ismail Brahim yang bersidang bersama K Muniandy dan Datuk Dean Wayne Daly, sebulat suara membenarkan rayuan MPK yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang, terhadap ganti rugi yang diberikan NBC Land.
Mahkamah turut mengetepikan faedah prapenghakiman hampir RM50 juta yang sebelum ini dikenakan terhadap pihak berkuasa tempatan itu.
Muniandy ketika membaca keputusan itu berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan prinsip ketika menilai ganti rugi berikutan pelanggaran perjanjian antara kedua-dua pihak pada 2 Disember 2003.










