KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan perbincangan bersama kerajaan Sabah bagi menyelaraskan tindakan berkaitan kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan itu penting bagi memastikan bekalan kedua-dua bahan makanan berkenaan kekal stabil dan harga berpatutan.

Menurutnya, perkara terbabit dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, mesyuarat itu turut meneliti keperluan memperkukuh peraturan berkaitan serta aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan.