ISKANDAR PUTERI – Dua penunggang motosikal maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang hilang kawalan di Kilometer 24.9, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, kedua-dua mangsa lelaki warga Malaysia berusia 34 dan 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dan dua motosikal.
Menurutnya, kereta yang dinaiki seorang pemandu bersama dua penumpang sedang dalam perjalanan menghala ke Lima Kedai.









