Kuala Lumpur: Kempen kitar semula Recycle Me! 2026 diperluas ke lapan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara bagi menggalakkan penyertaan penduduk dalam pengumpulan botol plastik PET dan tin aluminium untuk dikitar semula.
Inisiatif Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama Alam Flora Environmental Solutions dan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menggabungkan penyediaan kemudahan pengumpulan bahan kitar semula, program pendidikan dan aktiviti komuniti sepanjang tempoh pelaksanaannya dari Oktober 2026 hingga April 2027.
Usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa, memandangkan kira-kira 82.5 peratus sisa yang dihasilkan di Malaysia berakhir di tapak pelupusan, menurut artikel yang diterbitkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2021.






