Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor mengambil beberapa tindakan bagi menangani aduan gangguan monyet liar di kawasan perumahan, termasuk memasang sangkar di kawasan terjejas.
Timbalan Pengarah PERHILITAN Johor, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.
"Operasi menangkap haiwan liar itu dijalankan secara berterusan sebelum haiwan dilepaskan di kawasan yang sesuai.
"Berhubung aduan serangan haiwan liar, kami ada menerima maklumat mengenainya, namun kes seumpama itu hanya berlaku secara terpencil," katanya ketika dihubungi bagi mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk yang tertekan akibat gangguan monyet liar.






