Georgetown: Pemergian Dr Wong Kar Lin meninggalkan satu kekosongan yang mendalam dalam komuniti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Pulau Pinang, di samping menyingkap satu legasi peribadi yang menyentuh hati - legasi mengenai harapan dan kurniaan cahaya mata.

Beliau yang berusia 73 tahun terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang melanda kediamannya di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Ahad lalu.

Dr Wong berkhidmat sebagai Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) selama berdekad-dekad, dan beliau sentiasa bermurah hati berkongsi ilmu pengetahuannya dengan pengamal OSH di seluruh Pulau Pinang.

Namun, bagi Azly Ahmad, 40, seorang Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan yang mengenali Dr Wong selama 15 tahun, lelaki itu bukan sekadar seorang pengamal perubatan.