London: Yayasan Hind Rajab (HRF) memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa United Kingdom (UK) terhadap seorang anggota tentera Israel atas dakwaan terlibat dalam jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Yayasan itu dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa Lidor Dafna, seorang anggota simpanan yang bertugas sebagai pengendali jentolak berperisai D9 dalam Batalion Kejuruteraan Tempur ke-603, Briged Berperisai ketujuh, terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza dan Lubnan sejak November 2023.

HRF turut menyatakan bahawa pihaknya mempunyai alasan untuk mempercayai Dafna kini berada di UK.

Aduan itu tertumpu kepada pemusnahan Great Ocean Mills, sebuah kemudahan perindustrian pengeluaran tepung di Koridor Morag antara Khan Younis dan Rafah, pada 25 Mei 2025.