Negeri Sembilan sudah mewartakan pemecatan dua Undang yang dipertikaikan dan penggantian seorang lagi Undang yang bersekutu dengan mereka.

Dokumen tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, dan dicetak secara rasmi sebagai warta.

Sekiranya dianggap sah, ia akan melemahkan lagi kuasa Undang yang berusaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada Yang di-Petuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut dokumen rasmi bertarikh 23 Okt dan dilihat Malaysiakini itu, warta berkenaan mengesahkan pemecatan ketua Undang yang dipertikaikan itu, Mubarak Thahak, daripada jawatannya sebagai Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025.