London: Parti Green United Kingdom (UK) secara rasmi menerima pakai pendirian anti-Zionis pada Ahad selepas anggotanya mengundi menyokong usul yang mengisytiharkan Zionisme sebagai satu bentuk perkauman pada persidangan tahunan parti itu di Brighton, dalam langkah yang disifatkan sebagai bersejarah dalam politik Britain.
Usul yang dikemukakan kumpulan Greens for Palestine dalam parti itu memperoleh 1,022 undi menyokong berbanding 813 undi menentang, sekali gus menjadikannya dasar rasmi parti, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Resolusi itu menggariskan penentangan parti berkenaan terhadap Zionisme serta menegaskan semula komitmennya untuk menyokong pembebasan Palestin dan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.










