Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan transit 30 unit server mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) termaju bernilai hampir RM49.5 juta.
Pengarahnya, Aspalila AG Tuah berkata rampasan terhadap barangan yang berpotensi digunakan untuk pembangunan teknologi ketenteraan itu hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 15 Oktober lalu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua server tersebut dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu bil jalan udara sebagai komponen elektronik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum dieksport ke negara Asia lain.
"Sindiket juga disyaki menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit bagi memastikan tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke negara seterusnya," katanya pada sidang media di sini hari ini.






